Pada 23 Jun 2025 bersamaan hari Isnin, SMK Luar Bandar No.1 Sibu telah mengadakan Sambutan Ngiling Bidai dan Pesta Kaamatan 2025 dengan penuh warna-warni dan semangat perpaduan. Majlis ini berlangsung dengan meriah di Dewan Makan sekolah dan bertemakan pakaian tradisional Dayak.
Tujuan utama sambutan ini adalah untuk meraikan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Dayak dan Kadazandusun di Sarawak dan Sabah. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Majlis dimulakan sekitar jam 2 petang dengan ketibaan para jemputan dan guru-guru. Suasana dewan dihiasi dengan hiasan tradisional yang mencerminkan unsur etnik tempatan seperti tikar anyaman, tempayan, gong, dan lampit. Pelajar dan guru tampil anggun dan segak mengenakan pakaian tradisional seperti Ngepan Iban, baju Kadazan, Lun Bawang, dan Bidayuh.
Antara acara yang diadakan termasuklah ucapan perasmian oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Louis Anak Pasu, yang menekankan kepentingan menghargai adat dan budaya tempatan. Beliau juga menyatakan bahawa sekolah merupakan tempat terbaik untuk memupuk kefahaman antara kaum. Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan seperti tarian Ngajat, tarian Sumazau dan nyanyian lagu-lagu etnik.
Sambutan diakhiri dengan acara simbolik “Ngiling Bidai” oleh guru-guru dan wakil pelajar sebagai tanda menutup tirai musim menuai dan memulakan musim baru yang penuh harapan.
Secara keseluruhannya, Sambutan Ngiling Bidai dan Pesta Kaamatan 2025 berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Ia bukan sahaja menceriakan warga sekolah tetapi turut mengukuhkan semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu inisiatif ke arah membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
0 comments:
Post a Comment