Saturday, 26 July 2025

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SENI TARI TALI YAKULT GENERASI MADANI 2025

Pada 24 Julai 2025, SMK Luar Bandar No.1 Sibu telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Seni Tari Tali Yakult Generasi Madani dengan tema “Yakult Dance Rope: Misi Sihat Yakult 2025”. Majlis tersebut berlangsung di Dewan Sri Kenyalang dari pukul 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Program ini disertai oleh semua pelajar, guru, dan staf sokongan dengan kerjasama syarikat Yakult Malaysia Sdn. Bhd.

Tepat jam 12.00 tengah hari, para pelajar, guru dan staf mula berkumpul di dewan. Ketibaan penceramah jemputan dan VIP disambut sekitar pukul 12.15 tengah hari. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Sekolah dan Lagu Ibu Pertiwiku yang disampaikan dengan penuh semangat patriotik. Bacaan doa kemudiannya disempurnakan untuk memberkati majlis.

Seterusnya, Pengetua sekolah menyampaikan ucapan perasmian yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat serta menyambut baik kolaborasi bersama Yakult Malaysia. Tepat pukul 12.40 tengah hari, majlis pelancaran rasmi Program Seni Tari Tali Yakult Generasi Madani dijalankan dengan persembahan gimik dan demonstrasi tarian “Dance Rope” yang sangat bertenaga dan menarik perhatian.

Acara diteruskan dengan sesi bergambar bersama VIP dan pengurusan sekolah serta para murid sebagai kenang-kenangan. Seterusnya, sesi ceramah “Misi Sihat Yakult” disampaikan oleh Cik Ung Kah Yeng, Pegawai Perhubungan Awam daripada Jabatan Sains dan Perhubungan Awam, Yakult Malaysia Sdn. Bhd. Ceramah ini memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan probiotik dan pemakanan sihat dalam kehidupan seharian.

Majlis juga turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi soal jawab, penyampaian cenderahati kepada penceramah dan cabutan bertuah. Hadirin juga disajikan dengan jamuan ringan yang disediakan khas untuk VIP dan penceramah.

Majlis berakhir dengan nyanyian lagu tema dan bersurai sekitar pukul 2.00 petang. Penyerahan minuman Yakult kepada pelajar, guru dan staf telah diadakan pada keesokan harinya iaitu pada 25 Julai 2025 sebagai tanda penghargaan dan penutup program.

Kesimpulannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui pendekatan seni dan interaktif. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan warga sekolah.










0 comments:

Post a Comment