VISI/MISI

Sekolah

Sambutan Hari Merdeka

Peringkat Sekolah di Dewan Seri Kenyalang

Monday, 28 April 2025

Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2024

 Pada 24 Mei 2025, Sekolah telah mengadakan Majlis Penyerahan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bertempat di Dewan Seri Kenyalang. Majlis ini bermula tepat pada pukul 10.00 pagi dan dihadiri oleh murid-murid calon SPM 2024 bersama ibu bapa masing-masing.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon atas usaha gigih mereka. Dalam ucapan beliau, Tuan Pengetua turut memaklumkan bahawa sekolah telah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 4.64, yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Beliau juga menekankan pentingnya meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik serta membina sahsiah diri yang tinggi untuk masa hadapan.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, bermula daripada pelajar yang mendapat 5A hingga 9A. Seramai 1 orang pelajar memperoleh 9A, 4 orang pelajar mendapat 8A, 3 orang pelajar mendapat 7A, 9 orang pelajar memperoleh 6A, 7 orang pelajar memperoleh 5A, selain 7 orang pelajar dengan 4A, 9 orang dengan 3A, 14 orang dengan 2A dan 18 orang yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 1A.

Majlis kemudian diserikan dengan sesi bergambar bersama pelajar cemerlang dan seluruh calon SPM 2024. Sesi ini menjadi detik bermakna, mengabadikan kenangan manis hasil usaha keras semua pelajar sepanjang tempoh persekolahan mereka.

Secara keseluruhannya, Majlis Penyerahan Keputusan SPM ini berlangsung dengan penuh tertib dan bermakna. Diharapkan kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada semua pelajar untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa akan datang.





PERAYAAN HARI RAYA 2025

 Pada 24 Mei 2025, sekolah kami telah mengadakan Perayaan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah yang bertempat di kantin sekolah. Majlis ini telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan disertai oleh semua guru dan kakitangan sekolah. Kantin dihias indah dengan lampu-lampu pelita, kain rentang bertemakan Hari Raya, serta hiasan tradisional yang menyerikan suasana.

Perayaan ini diadakan dengan tujuan untuk meraikan kedatangan bulan Syawal yang mulia setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Selain itu, objektif penganjuran majlis ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim, serta memperkukuh nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, dan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Tuan Pengetua yang menekankan kepentingan perpaduan dan saling menghargai dalam suasana majmuk di negara ini. Selepas itu, para hadirin disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional seperti lemang, rendang, ketupat, lontong, dan aneka kuih raya. Seterusnya, acara diteruskan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya oleh pelajar dan guru, serta pertandingan pakaian tradisional terbaik.

Suasana sepanjang majlis sangat meriah dengan gelak tawa dan keceriaan terpancar di wajah setiap yang hadir. Melalui penganjuran Perayaan Hari Raya ini, bukan sahaja tradisi dan budaya dapat dipelihara, malah nilai kerjasama dan perpaduan turut diperkukuhkan dalam kalangan seluruh warga sekolah. Perayaan ini sememangnya menjadi satu kenangan manis yang akan terus dikenang oleh semua yang terlibat.














Sunday, 20 April 2025

SUKAN SEKOLAH 2025

Pada 14 - 17 April 2025,  sekolah telah mengadakan aktiviti sukan tahunan.  Tujuan sukan tahunan diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid,  mengeratkan hubungan dikalangan murid,  guru dan staff,  mengalakkan amalan hidup sihat dan mewujudkan persekitaran sekolah yang harmoni diantara pelbagai kaum.  Pelbagai acara dipertandingkan seperti lompat jauh,  lontar peluru,  lontar lembing,  100 m, 200 m dan lain-lain.  Semua murid dilibatkan dari kelas peralihan hingga Tingkatan 6.  Murid-murid akan mewakili rumah sukan masing-masing iaitu Rumah sukan Rentap,  Patinggi Ali,  Syarif Masahor,  Banting,  Rosli Dhoby dan Linggir.  Berikut ialah gambar-gambar kenangan semasa acara sukan yang dipertandigkan :